suria

Lelaki Hadapi 13 Pertuduhan Menipu Melibatkan Hampir RM70,000

IPOH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 13 pertuduhan menipu dua individu melibatkan RM69,295 dua tahun lepas.

Mohamad Aizi Majid, 57, yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 24 Februari hingga 6 Mei 2012.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda.

Bagi 12 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Suhaima Mohd Noor, Mohamad Aizi didakwa menipu Lee Kok San, 53, melibatkan wang berjumlah RM15,250 dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan tanah kerajaan untuk tapak kediaman yang tidak wujud.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu antara 7 April hingga 6 Mei tahun lepas di tiga cawangan Maybank iaitu Menglembu, Jalan Yang Kalsom dan Jelapang serta di Public Bank, Jalan Yang Kalsom.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Mohd Aizi didakwa memperdayakan Zulkhairy Muhamad Luding, 36, dengan menawarkan projek pasir di Mukim Sungai Raja yang tidak wujud.

Mohd Aizi dituduh mendorong Zulkhairy menyerahkan wang sebanyak RM54,045 di Hotel Excelsior di sini antara 24 Feb hingga 16 Mac 2012.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM16,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggalnya setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 26 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang mempunyai dua isteri dan 12 anak itu diwakili peguam K. Nathan dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammed Fauzi Yusof. - BERNAMA

Artikel Lain