suria

Pergolakan Di Thailand, Rakyat Malaysia Tidak Terjejas

PETALING JAYA: Keow Wee Leong sentiasa menjadi sebahagian daripada insan yang menyaksikan peristiwa politik dan terbaharu, dia berada di Thailand untuk merakamkan pusingan terbaru protes.

Jurugambar bebas berusia 25 tahun ini kerap berkunjung ke Thailand.

Beliau membuat liputan dan rakaman tunjuk perasaan dan kembali ke Malaysia tiga hari sebelum kerajaan Thailand mengisytiharkan darurat di ibu negara itu.

"Sebelum protes, saya membuat liputan hari kemerdekaan Myanmar pada 4 Januari dan selepas itu saya pergi ke Bangkok untuk membuat liputan tunjuk perasaan.

"Protes di sana dilakukan dengan aman dan beberapa penunjuk perasaan menjadikannya seperti perayaan. Terdapat gerai-gerai makanan, orang menari dan melaungkan slogan," kata Keow.

Kerajaan sementara Thailand mengisytiharkan perintah darurat bagi mengekang demonstrasi oleh kumpulan Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC), yang telah menggugat pentadbiran kerajaan serta menjejaskan aktiviti komersil dan kewangan di Bangkok.

Perintah darurat itu akan berkuat kuasa selama 60 hari bermula pada Rabu.

Kawasan tersebut merangkumi Bangkok, wilayah Nontaburi, daerah Lat Lumkaew di Pratumthani dan daerah Bangphli di Sumutprakarn.

Keow yang merakamkan gambar semasa banjir di Kuantan, Himpunan Black 505 dan rampasan kuasa tentera Thailand pada 2008 berkata beliau akan pergi ke sana lagi bulan depan.

Jika keadaan memuncak, mungkin dia akan ke sana lebih awal.

"Buat masa ini, ia tidak ganas tetapi jika terdapat penglibatan tentera, maka saya akan pergi ke sana secepat mungkin," katanya.

Pembantu Editor Asia News Network (ANN), Yvonne Lim Sue Yin, berkata setakat ini tiada apa yang berbeza di daerah beliau, Bang Na.

"Setakat yang saya tahu, tiada apa yang berbeza tetapi, selain kita cuba untuk tidak pergi ke kawasan protes seperti Siam Prathumwan dan Asoke kerana peserta bantahannya yang ramai.

"Rakan-rakan saya dari Malaysia telah datang dan pergi ke sana pada hujung minggu lalu, jadi tidak ada masalah."

"Selain itu, perniagaan berjalan seperti biasa. Bandar kejiranan saya sangat tenang. Tetapi ia merupakan kawasan baju merah, jadi perintah darurat meliputi kawasan ini," katanya yang berusia 26 tahun itu.

Seorang lagi warga Malaysia yang lebih suka dipanggil Sakina berkata bahawa kehidupan adalah biasa tetapi sedikit menyusahkan apabila berdepan dengan penutupan jalan.

"Orang ramai masih keluar untuk membeli-belah di sekitar kawasan tunjuk perasaan dan setakat ini tidak ada perintah berkurung," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain