suria

Penagih Dadah Ditahan Cuba Seludup Motosikal Curi Ke Negara Jiran

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan seorang penagih dadah yang cuba menyeludup sebuah motosikal curi melalui pangkalan haram di Kampung Simpangan, di sini malam Selasa.

Pemangku Pegawai Pemerintahnya Insp Mohd Hamdan Mustafa berkata suspek ditahan pada 8.30 malam hasil intipan anggota pasukan itu di bawah Op Cantas/Op Lejang Khas.

"Suspek yang berusia 32 tahun itu ditahan selepas seorang anggota PPM melihat seorang lelaki menolak sebuah motosikal jenis Honda Wave ke arah Sungai Golok.

"Sebaik anggota PPM memperkenalkan diri, suspek bertindak di luar kawalan dan berlaku pergelutan antara penagih dadah itu dengan pasukan keselamatan kira-kira 10 minit sebelum dia berjaya ditahan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubur di sini Rabu.

Mohd Hamdan berkata seorang rakan suspek berjaya meloloskan diri dengan terjun ke Sungai Golok.

"Kami menemui satu botol plastik mengandungi serbuk putih, dipercayai dadah jenis heroin dan wang tunai RM500 serta sebatang besi berbentuk T yang dipercayai digunakan suspek untuk mencuri motosikal.

"Suspek turut gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri dan hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Opiate," katanya.

Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan mengaku mencuri motosikal di Pasir Mas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain