suria

Pemuda Mengaku Tidak Bersalah Rompak Alat Gunting Rambut

SHAH ALAM: Seorang pemuda pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merompak satu alat gunting rambut daripada seorang tukang gunting awal tahun ini.

B.Sathia Seelan, 23, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dituduh merompak alat berharga RM50 itu daripada tukang gunting warga India S.Gunaseelan dengan bersenjatakan pemutar skru yang boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan jenayah itu pada 1.10 tengah hari, 2 Januari lepas di sebuah kedai gunting rambut di Seksyen 16 di sini mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh menggunakan senjata selain mengenali mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang berambut panjang dan mengerbang serta tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan kerana hanya dia dan ibunya bekerja menyara keluarganya.

Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain