suria

Jelaskan Status Projek Mendalamkan Dasar Laut Di Pelabuhan P.Pinang - Guan Eng

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng sekali lagi meminta Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan sama ada projek mendalamkan dasar laut Pelabuhan Pulau Pinang (PPP) yang bernilai RM353 juta akan dilaksanakan atau sebaliknya.

Beliau menegaskan status mengenai projek itu perlu dijelaskan kerana ia merupakan projek yang berkepentingan rakyat dan ia perlu laksanakan bagi membolehkan kapal-kapal besar melalui pelabuhan tersebut serta berlabuh di situ.

Lim juga berharap kementerian berkaitan atau pihak kerajaan persekutuan dapat memberi penjelasan mengenai hala tuju, kepastian dan ketelusan untuk masa depan PPP.

"Ini juga satu perkara besar yang berkaitan dengan ekonomi Pulau Pinang. Kita telah dengar banyak ura-ura sebelum ini tetapi ini adalah pengesahan yang diberikan oleh The Edge...kenapa tidak boleh buat pengumuman.

"Sebagai pemilik PPP kerajaan persekutuan perlu buat pengumuman terlebih dahulu," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PPP yang baharu iaitu Datuk Mohd Sidik Shaik Osman yang dikeluarkan The Edge Financial Daily mengenai pengakhiran ketidakpastian di PPP.

Mohd Sidik ketika mengesahkan pelantikannya itu berkata, "Kami ingin tahu di mana kita berada sekarang dan bagaimana kita boleh majukan lagi bisnes untuk Pelabuhan Pulau Pinang".

Pelantikan Mohd Sidik dibuat oleh taikun Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary yang menguasai Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pada Julai 2013, Lim pernah meminta Kementerian pengangkutan memberi penjelasan mengenai status projek mendalamkan dasar laut serta program penswastaan PPP.

Beliau berkata ketidakpastian mengenai masa depan PPP bukan sahaja akan menyebabkan kerugian kepada perniagaan logistik di Pulau Pinang tetapi juga boleh menjejas potensi negeri ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain