suria

Dua Maut Nahas Ngeri Tiga Kenderaan Di Temerloh

KUANTAN: Dua maut dalam nahas ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di km125 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Seberang, di Temerloh pada Selasa.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, penunggang motosikal Mohd Nasir Yunus, 58, dan pemandu kereta Norfaidatul Akma Muhammad Di, 26, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Aziz Salleh berkata ketika kejadian, kereta jenis Nissan yang dipandu Norfaidatul Akma dari arah Maran dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar motosikal yang ditunggang Mohd Nasir di hadapannya.

"Akibat pelanggaran itu kedua-dua kenderaan terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh lori kren yang datang dari arah bertentangan dan diseret sejauh kira-kira 20 meter," katanya ketika dihubungi.

Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian, manakala pemandu lori berkenaan hanya cedera ringan.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain