suria

Bertanggungjawab Kunci Perpaduan Kaum - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia harus menjadi warganegara yang bertanggungjawab bagi mengukuhkan keharmonian kaum dan toleransi beragama di semua peringkat untuk mengelak konflik antara kaum, kata Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata rakyat yang berasal dari etnik berbeza mestilah menyedari tentang keperluan untuk saling menghormati antara satu sama lain.

"Adalah tidak matang dan tidak bertanggungjawab mereka yang memuat naik topik sensitif di Facebook (akaun) mereka. Kenyataan berbaur perkauman ini boleh menggugat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Kita sebuah masyarakat yang harmoni dan adalah perlu bagi kita untuk meningkatkan dan mengukuhkan pemahaman antara kaum serta kepercayaan antara satu sama lain walau apa jua perbezaan," katanya.

Lee mengulas beberapa catatan bersifat perkauman yang disebarkan di laman sosial dan semakin banyak dimuat naik sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata Malaysia hari ini dikenali di dunia sebagai contoh bagaimana masyarakat pelbagai kaum dapat hidup aman dan damai serta bekerjasama untuk kemajuan dan kesejahteraan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain