suria

Pemuda MIC Berhasrat Tubuh Unit Pemantau Penjawat Awam

PUTRAJAYA: Pergerakan Pemuda MIC berhasrat menubuhkan unit pemantau penjawat awam yang akan berperanan menerima aduan masyarakat India berhubung ketidakpuasan mereka terhadap penjawat awam.

Ketua Pemuda MIC C. Sivarraajh berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan dalam pertemuan di pejabat menteri berkenaan Isnin.

"Beliau memberi respons yang bagus, cuma beliau berkata mekanisme harus lebih sistematik iaitu kami boleh bekerjasama dengan Biro Pengaduan Awam dan melalui biro itu juga kami akan berhubung dengan agensi lain," katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.

Isu mengenai penjawat awam dipandang serius oleh Pemuda MIC kerana pihaknya sering menerima aduan daripada masyarakat India berhubung dakwaan ketidakcekapan penjawat awam menjalankan tugas, katanya.

"Daripada 10 aduan yang diterima enam atau tujuh adalah berkaitan penjawat awam...aduan yang biasa dalam kalangan masyarakat India adalah mengenai Polis, Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan agensi yang berkaitan dengan penguatkuasaan," kata Sivarraajh. Beliau berkata struktur organisasi unit pemantau itu telah siap namun butiran terperinci mengenainya masih belum boleh diumumkan kerana menunggu persetujuan presiden parti.

BERNAMA

Artikel Lain