suria

MB S'gor Minta PKNS Bentang Dokumen Sokongan Penguguran Azmin

Abdul Khalid.
Abdul Khalid.

KLANG: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Ahad meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membentangkan dokumen sokongan berhubung keputusan menggugurkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai anggota Lembaga Pengarahnya.

Beliau berkata, semua dokumen sokongan berkaitan perlu dikemukakan dan dijelaskan untuk diteliti dalam usaha menyelesaikan kekeliruan yang timbul berikutan pengguguran Anggota Parlimen Gombak itu.

"Biasanya dalam pentadbiran akan ada dokumen-dokumen yang digunakan ketika membuat apa-apa keputusan dan ia perlu dibentangkan dan dijelaskan.

"Maka, saya minta pengurus besar PKNS serta pegawainya tunjuk kepada saya dokumen itu dalam pertemuan esok supaya saya boleh kemukakan sebab pengguguran Azmin itu untuk pengetahuan umum," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan buah limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat setempat di sini, Ahad.

Isu pengguguran Azmin menjadi hangat apabila kerajaan negeri dan PKNS menuding jari antara satu sama lain malah Abdul Khalid pula menyatakan hanya mahu memberikan penjelasan setelah berjumpa dengan pengurusan perbadanan itu pada Isnin.

Pada Sabtu, Abdul Khalid menafikan dakwaan beliau terlibat dalam membuat keputusan menggugurkan Azmin dan menjelaskan perkara itu dicadangkan oleh Pengurus Besar PKNS, Othman Omar yang mahu menamatkan khidmat Azmin pada penghujung bulan ini.

Bagaimanapun kenyataan Menteri Besar itu disangkal oleh Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek yang memaklumkan kuasa melantik Anggota Lembaga Pengarah adalah di tangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Abdul Khalid dan bukan Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

Norita berkata, pengguguran Azmin itu juga disahkan oleh MMKN pada Disember lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Azmin mengkritiknya di laman sosial Twitter beberapa hari lepas, Menteri Besar enggan mengulas namun berjanji akan menyelesaikan segala spekulasi yang timbul berhubung pengguguran Azmin secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata keputusan untuk beliau bertanding untuk sebarang jawatan dalam pemilihan parti Mei depan akan bergantung kepada keputusan parti. - BERNAMA

Artikel Lain