suria

MB Selangor Masih Berteka-teki Untuk Bertanding Dalam Pemilihan PKR

Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim

KLANG: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim masih enggan mendedahkan sama beliau akan bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

"Sama ada saya bertanding atau tidak ia tiada perbezaan. Keputusan sama ada ya atau tidak (bertanding) akan diumumkan oleh parti selepas ini," kata Khalid kepada pemberita selepas menyerahkan buah limau sempena sambutan Tahun Baru Cina di Bukit Tinggi.

Ketika ditanya mengenai kandungan perbincangan antara beliau dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat katanya "Ia merupakan perbincangan tertutup dan saya tidak mahu memberi sebarang komen."

Kesediaan Khalid untuk bertanding pada pemilihan PKR yang dijadualkan Februari atau Mac ini bakal mewujudkan persaingan sengit terhadap musuhnya iaitu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Pembantu Khalid sebelum ini menyatakan bahawa Menteri Besar Selangor itu tidak akan bertanding, namun ramai ahli parti percaya bahawa beliau akan memberikan saingan pada pemilihan itu.

Seorang pemimpin PKR Klang berkata, Khalid mempunyai peluang untuk bertanding bagi kedudukan kedua parti kerana terdapat kumpulan yang ingin menjatuhkan Azmin daripada kedudukan tersebut.

"Jika Azmin kekal bertanding sebagai timbalan presiden, Khalid akan mencabarnya. Malah jika Azmin bertanding sebagai presiden juga Khalid akan betanding bagi kerusi tersebut," katanya.

Tambahnya, Khalid kini mengikut petunjuk 'tangan ghaib' dalam parti yang ingin menjatuhkan Azmin sebagai pemimpin pelapis tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Khalid mengulangi bahawa beliau akan mendapatkan penerangan daripada Pengurus Besar dan Setiausaha Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar dan Norita Mohd. Sidek berhubung isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat milik kerajaan negeri itu.

Khalid mendedahkan bahawa Othman merupakan individu yang menghantar surat penguguran kepada Azmin baru-baru ini.

Artikel Lain