suria

Lelaki Maut Dalam Pergaduhan Selepas Sambutan Thaipusam

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut manakala adiknya cedera parah akibat pergaduhan selepas perarakan Thaipusm di sini, malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Ariffin berkata, S. Sivakumaran, 35, dari Sungai Tukang, maut manakala adiknya, S Nadarajan, 20-an, cedera parah.

Katanya, dua beradik itu terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Pasar, di sini.

Pergaduhan itu melibatkan dua kumpulan dan berlaku di dua tempat berasingan, menyebabkan tujuh orang lain mendapat cedera, kata Khalil kepada pemberita semasa dihubungi, Ahad.

Menurutnya, pergaduhan pertama berlaku kira-kira pukul 12.05 tengah malam menyebabkan tiga orang cedera dan insiden kedua berlaku tidak jauh dari tempat pertama kira-kira 20 minit kemudian.

"Dalam kes kedua, Sivakumaran maut manakala adiknya dan empat individu lain cedera.

"Polis telah mendapat perintah tahanan enam lelaki berumur 20-an hingga 30-an selama seminggu sehingga 25 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Khalil berkata, semua lelaki terbabit ditahan di sebuah kawasan perumahan berhampiran tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain