suria

Puspakom Tawar Pemeriksaan Percuma Sehingga 30 Januari

JOHOR BAHRU: Puspakom akan menyediakan pemeriksaan kenderaan percuma untuk semua pemilik kenderaan persendirian dalam usaha untuk memastikan kelancaran perjalanan jarak jauh, terutama semasa Tahun Baru Cina.

Ketua pegawai eksekutifnya Mohammed Shukor Ismail berkata pemilik kenderaan persendirian boleh berkunjung ke pusat-pusat pemeriksaan berhampiran mereka di seluruh negara untuk pemeriksaan percuma bermula Ahad sehingga 30 Januari.

Mohammed Shukor berkata perkhidmatan percuma adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat syarikat untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan keselamatan kenderaan.

"Pemeriksa kenderaan kami yang terlatih akan menjalankan pemeriksaan sepanjang 12 hari di semua 55 pusat pemeriksaan di seluruh negara," kata beliau dalam satu kenyataan, sambil menambah terdapat lapan pusat pemeriksaan di Johor.

Kenderaan akan menjalani satu siri ujian termasuk pemeriksaan identiti (casis dan enjin), ujian pelepasan, ujian 'sideslip' (untuk menentukan kestabilan membelok), ujian brek, ujian 'suspension', serta ujian filem tingkap.

"Lebih 3,000 pemilik kenderaan mendapat manfaat daripada program ini di seluruh negara pada tahun lepas.

"Kami menjangkakan jumlah kehadiran yang lebih baik untuk tahun ini dan berharap untuk menjalankan program ini setiap tahun," tambah Muhammad Shukor yang juga menasihatkan pelanggan supaya membuat temujanji untuk perkhidmatan yang lebih cepat.

Untuk maklumat lanjut, hubungi hotline Puspakom di 1-800-88-6927 atau layari www.puspakom.com.my

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain