suria

Kerajaan Digesa Sedia Langkah Untuk Kekalkan Harga Barangan

 S.M Mohamed
S.M Mohamed

PETALING JAYA: Persatuan pengguna meminta kerajaan menyediakan langkah untuk mengekalkan harga makanan daripada naik dalam tempoh yang panjang.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S.M Mohamed Idris berkata, selain itu kerajaan juga diminta mengurangkan import daging dengan memberi keutamaan kepada hasil tempatan.

"Terdapat banyak sumber makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan kini dimport. Perkara ini telah mengurangkan bekalan tempatan serta menyumbang kepada kenaikan harga," katanya sambil menyifatkan kebanyakan sumber makanan tempatan dijual kepada hotel dan restoran besar sebelum pengguna biasa.

Beliau berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut diminta membuat larangan terhadap aktiviti penangkapan ikan pada musim monsun bagi memboleh hidupan laut membiak seperti yang diamalkan oleh negara lain seperti India.

"Aktiviti penangkapan ikan ketika laut bergelora akan menyebabkan kekurangan ikan dan mengganggu proses pembiakan," katanya.

Setiausaha Agung Fomca, Paul Selvaraj pula menggesa perubahan dilakukan bagi memastikan harga barangan kekal berpatutan dalam tempoh yang panjang.

Katanya, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran sumber makanan selain meliberalisasikan bekalan.

"Lebih banyak tanah perlu diteroka untuk mengusahakan aktiviti agrikultur bagi memastikan permintaan makanan tempatan mencukupi. Tanah terbiar juga boleh digunakan bagi perladangan," katanya.

Menurutnya, selain itu, pasar tani juga perlu diperluaskan bagi memboleh para petani menjual hasil ladang masing-masing dengan harga rendah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain