suria

Kelayakan Masuk Pelajar Jurusan Perubatan Mungkin Diperketat - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin mengetatkan syarat minimum bagi pelajar yang ingin mengikuti pengajian dalam bidang perubatan pada masa akan datang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kajian dan perbincangan mengenainya telah diadakan dengan Kementerian Pendidikan.

Katanya cadangan itu bertujuan memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak akan dipilih mengikuti jurusan perubatan dan dalam jangka panjang, langkah ini boleh mengawal jumlah siswazah perubatan baharu yang memasuki pasaran kerja.

"Sekarang, syaratnya (kelayakan masuk minimum) ialah 4B. Kami mungkin menaikkannya kerana kebelakangan ini, banyak pelajar mendapat lebih banyak A. Kami juga menguatkuasakan syarat ini bagi pelajar yang ingin mengikuti jurusan perubatan di luar negara," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Thaipusam di Batu Caves, dekat sini Jumaat.

Kini, terdapat 33 sekolah perubatan di Malaysia, yang melahirkan kira-kira 5,000 siswazah perubatan setiap tahun, hingga menyebabkan berlaku kebanjiran doktor baharu di pasaran kerja.

"Nisbah kami kini hampir mencapai seorang doktor bagi setiap 600 penduduk dan dari segi latihan, Kementerian Kesihatan memastikan setiap orang mendapat latihan secukupnya. Kami tidak akan bertolak ansur tentang tahap latihan dan pendedahan," katanya.

Dr Subramaniam berkata kerajaan juga membekukan pendaftaran sekolah perubatan baharu di negara ini dan permohonan untuk menambah jumlah pengambilan pelajar bagi program masing-masing.

Terdahulu, Dr Subramaniam, yang juga timbalan presiden MIC, berkata sambutan Thaipusam di Batu Caves tahun ini menarik kira-kira sejuta pelawat sejak 10 hari lepas.

Katanya sebuah pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan, yang dibantu anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulance serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, ditugaskan di tempat itu untuk memberi bantuan perubatan kepada mereka yang memerlukan.

Hingga hari ini, kem perubatan di situ memberi bantuan perubatan kepada 85 pengunjung ke majlis berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain