suria

Lelaki Cedera Ditembak Selepas Cuba Langgar Polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami gangguan mental bertindak melanggar dua anggota polis menggunakan keretanya ketika cuba melarikan diri sebelum ditembak dalam kejadian di Bandar Tun Razak, Cheras.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku pada 11.20 malam Khamis apabila lelaki berusia 31 tahun itu keluar dari tempat letak kereta stesen LRT Bandar Tun Razak dan diarahkan berhenti oleh dua anggota peronda bermotosikal selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya lelaki yang memandu Proton Iswara itu kemudiannya melanggar seorang daripada anggota terbabit yang ketika itu cuba menghalang kenderaan lelaki berkenaan.

"Lelaki itu kemudiannya memandu sehingga ke kawasan kilang Desa Tun Razak dan diekori seorang lagi anggota. Sampai di jalan mati, lelaki itu memberhentikan keretanya dan dihampiri anggota polis berkenaan yang kemudian hampir dilanggar ketika lelaki itu cuba mengundurkan keretanya.

"Anggota polis berkenaan yang sempat mengelak, melepaskan satu das tembakan menembusi cermin sebelah pemandu dan mengenai paha kiri suspek," katanya.

Khairi berkata anggota yang dilanggar hanya cedera ringan manakala lelaki itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya lelaki ini menghidap masalah mental," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain