suria

Kementerian Kesihatan Bidas Dakwaan Hospital Cari Pemberi Maklumat

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan membidas dakwaan bahawa Hospital Sungai Buloh sedang mencari pemberi maklumat yang mendedahkan mengenai kerosakan di bilik pembedahan hospital itu.

"Tidak. Itu adalah karut mengatakan mereka sedang mencari pemberi maklumat berkenaan.

"Saya sendiri berjumpa dengan semua doktor di bahagian pembedahan dan anestetik, dan telah mengadakan perbincangan yang lama dengan mereka.

"Saya ada bertanya sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah dan mereka katakan tidak," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada sidang media di pusat perubatan di Batu Caves di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Khamis yang mengecam pihak berkuasa hospital dikatakan memburu siapakah pemberi maklumat dengan mengenal pasti kakitangan perubatan yang telah membocorkan tentang kerosakan kemudahan di hospital itu kepada media.

Hospital Sungai Buloh mengalami kemudahan pendingin hawa yang kerap kali tidak berfungsi, sehingga mengakibatkan 12 daripada 22 bilik pembedahannya terpaksa ditutup.

Kerosakan itu berlaku selepas satu kejadian kebakaran pada 9 Januari lepas.

Dilaporkan bahawa kesemua pembedahan elektif telah ditangguhkan, dan hospital itu yang mempunyai kepakaran dalam neurosurgeri, ortopedik dan pembedahan tulang belakang, menggunakan enam bilik pembedahan termasuk dua lagi di bahagaian kecemasan untuk prosedur kecemasan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain