suria

Pekerja Butik Kecantikan Warga India Didakwa Bunuh Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan pembantu butik kecantikan hujung bulan lepas.

Shahsi Kumar, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di depan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Tiada pengakuan direkod dan mahkamah menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

Shahsi, yang bekerja di butik sama, didakwa membunuh Jolly Tewari, 28, juga warga India, di Sivisakthi Beauty & Bridal, No 83-2, Amber Business Plaza, Jalan Jelawat 2, Cheras di sini antara 1.30 tengah hari pada 30 Disember 2013 hingga 8 malam, 3 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh diwakili peguam R. Thiruchalvam dan Vincent Lawrence.

Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja wanita sebuah pusat kecantikan di Cheras ditemui mati di dalam tab mandi premis itu. - BERNAMA

Artikel Lain