suria

Kementerian Kesihatan Rangka Polisi Kawal Diabetis - Subramaniam

Subramaniam.
Subramaniam.
Subramaniam.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menerbitkan ringkasan polisi yang antara lain menggariskan isu terkini, cabaran, peluang penambahbaikan dan tindakan yang diambil untuk memperkukuh program kawalan diabetes di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, ringkasan polisi itu penting bagi memperkasa pegetahuan dan semangat pesakit diabetes selain dapat menjelaskan lebih lanjut mengenai pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pesakit dalam mengawal penyakit itu.

"Pesakit diabetes memain peranan penting dalam mengubah tingkah laku ke arah yang positif demi mencapai sasaran rawatan, mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes dan seterusnya menjamin kualiti hidup yang baik," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Siri Polisi Diabetes di ibu pejabat kementerian di sini, Khamis.

Mesyuarat julung kali itu, yang dianjurkan Kementerian Kesihatan dan Kedutaan Denmark di Malaysia, dirasmikan Puteri Benedikte dari Denmark.

Benedikte dalam rangka lawatan rasmi enam hari di Malaysia sejak 11 Januari lepas.

Subramaniam berkata, objektif utama mesyuarat itu ialah untuk mendapatkan pandangan dan input dari peserta yang terdiri daripada doktor, jururawat, pakar pemakanan dan pakar tempatan dalam mencari kaedah terbaik untuk memperkukuh program kawalan diabetes di Malaysia.

"Sehingga kini, terdapat 2.6 juta pesakit diabetes di Malaysia dan ia dijangka meningkat pada masa depan.

"Mungkin sebahagian daripada pesakit diabetes ini tidak menerima rawatan lengkap, maka ringkasan polisi ini penting buat mereka," katanya.

Beliau juga sekali lagi menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat terutamanya dengan mengurangkan makanan manis sebagai langkah mengelak dijangkiti diabetes serta menjaga kesihatan secara optimum. - BERNAMA

Artikel Lain