suria

Warga Emas Maut Motosikal Dirempuh Kereta

ALOR SETAR: Seorang warga emas maut selepas motosikalnya dikatakan dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta di Jalan Pokok Sena-Alor Setar berhampiran Sekolah Kebangsaan Jabi pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, Abu Bakar Mat Isa, 64, dari Kampung Atong, Pokok Sena maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala selepas tercampak kira-kira 40 meter.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Adzaman Mohd Jan berkata, mangsa dikatakan secara tiba-tiba memasuki lorong sebelah kanan untuk membuat pusingan U.

"Kereta yang dipandu seorang wanita di lorong kanan merempuh mangsa dari belakang mengakibatkan mangsa melambung dan terpelanting," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pemandu itu telah membuat laporan polis.

Sementara itu isteri mangsa Rokiah Ismail, 57, berkata suaminya baru sahaja pulang selepas membeli ikan di Pekan Pokok Sena dan mahu ke sebuah gerai makan berhampiran sekolah tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain