suria

Polis Giat Buru Suspek Kes Tembak Premis Di Sabah

KOTA KINABALU: Polis giat memburu suspek yang terlibat dengan kejadian tembakan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dan Penampang lewat malam Jumaat lepas.

Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan polis masih mengumpul bukti-bukti.

"Saya juga mengesahkan tiada peningkatan premis yang terjejas akibat kejadian itu sehingga petang kelmarin. Jumlahnya masih kekal iaitu 46 premis di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang," katanya pada Selasa.

Jauteh meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat segera tampil menghubungi pihaknya bagi membantu menyelesaikan kes ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya 019-8039520 atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu DSP Nor Azizulkifli Mansor (019-8103350) mahupun Ibu Pejabat Polis Karamunsing (088-221191).

Kejadian yang berlaku dalam tempoh sejam bermula 11.45 malam Jumaat itu mengakibatkan 46 premis di pusat bandar dan Penampang mengalami kerosakan termasuk cermin pecah apabila sekumpulan enam remaja yang menaiki tiga kenderaan melepaskan tembakan menggunakan senapang angin berpeluru 'ball bearing' dan guli.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam kenyataan media baru-baru ini melaporkan perbuatan 'budak nakal' itu telah mengakibatkan kerugian kira-kira RM76,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain