suria

Tiada Caj Tambahan Bagi iKad - KDN

KUALA LUMPUR: Caj tambahan tidak akan dikenakan bagi iKad pekerja asing yang dikeluarkan dengan bayaran RM110 kerana semua kos telah dimasukkan ke dalam bayaran permohonan permit kerja sementara.

Dalam kenyataan di sini pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata ketika melancarkan iKad di Putrajaya minggu lepas, menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kad itu, yang mengandungi kod bar dan cap jari pemiliknya, juga mengandungi kod warna mengikut sektor untuk memudahkan urusan pengenalan diri pemiliknya.

iKad merupakan sistem kad pengenalan diri terbaharu yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha mengawal kebanjiran pekerja asing tanpa izin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Matthew Tee berkata pihaknya berharap sistem itu dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan bagi mengurangkan isu yang boleh menimbulkan masalah pada masa akan datang.

Beliau juga meminta kerajaan mengenakan caj lebih rendah untuk iKad memandangkan majikan dalam industri pembinaan sudah menjelaskan levi dan yuran pemprosesan lain.

"Industri pembinaan menggunakan tenaga kerja yang agak banyak dan ini bermakna, sekiranya seorang majikan mengambil 1,000 pekerja asing, dia perlu mengeluarkan bayaran tambahan RM110,000 untuk iKad," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Bagi meringankan beban majikan dalam industri pembinaan, anggota MBAM berpendapat setiap iKad tidak sepatutnya dikenakan bayaran melebihi RM20.

"MBAM juga berharap kerajaan akan membuat penyelidikan secara objektif tentang punca yang membawa kepada meningkatnya permintaan bagi pekerja tanpa izin dan segera mencari penyelesaian sewajarnya bagi mengatasi masalah ini," kata Tee.

MBAM juga menyuarakan kebimbangannya tentang operasi besar-besaran melibatkan Jabatan Imigresen, Polis dan Rela terhadap pendatang asing tanpa izin di seluruh negara bermula 21 Jan ini, seperti yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri minggu lepas.

"Kami sentiasa bertanggungjawab dan mematuhi peraturan dengan mengambil pekerja asing sah sahaja. Bagaimanapun, persatuan ini ingin meminta kerajaan supaya memberi garis panduan jelas tentang serbuan yang akan didakan, terutama di tapak pembinaan, kerana anggota kami terjejas teruk dalam serbuan sebelum ini," katanya.

Tee mendakwa bahawa apabila tersebar berita serbuan akan dilancarkan, kebanyakan pekerja asing, sama ada yang bekerja secara sah atau sebaliknya, akan meninggalkan tapak pembinaan untuk mengelak daripada ditangkap sebab lazimnya, dokumen yang diperlukan tidak berada bersama mereka kerana disimpan majikan untuk tujuan keselamatan.

"Kadang-kadang pula, timbul masalah kerana dokumen mereka sedang menunggu pelekat visa daripada Jabatan Imigresen," katanya.

Beliau berkata terdapat juga kes kertas imigresen yang sah seseorang pekerja asing tidak diterima petugas anggota pasukan penguatkuasaan kerana tiada penyelarasan antara Jabatan Imigresen, Polis dan Rela. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain