suria

Saman Fitnah Umno Terhadap Tian Chua Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah yang difailkan Umno terhadap Naib Presiden PKR Tian Chua dan dua individu lagi berhubung penyiaran artikel pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Isnin selesai di luar mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop merekodkan penghakiman persetujuan di dalam kamar selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan tuntutan saman berdasarkan terma yang dipersetujui.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh memberitahu pemberita bahawa berikutan persetujuan itu, Umno menarik balik saman itu dan hakim merekodkannya tanpa menetapkan sebarang kos.

Di luar mahkamah, Tian Chua berkata pihaknya kesal dengan penyiaran artikel bertajuk 'Insiden Tembakan di Lahad Datu Konspirasi Terancang Umno - Tian' dan ia (artikel itu) bukan berniat untuk membabitkan Umno.

Pada 11 April lalu, Ab Rauf memfailkan saman fitnah terhadap Tian Chua, Editor KeadilanDaily.com Fazallah Pit dan penulis artikel, Aisha Geoffrey yang diterbitkan dalam portal KeadilanDaily.com pada 1 Mac tahun lepas.

Selain itu, hakim turut merekodkan persetujuan Fazallah dan Aisha untuk menarik balik artikel berkenaan daripada laman web mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain