suria

Saksi Nafi Amah Tak Diberi Makan, Diarah Bersihkan Anjing

KOTA BAHARU: Seorang saksi pada Ahad menafikan amah warga Indonesia yang didakwa membunuh majikannya tiga tahun lepas, pernah tidak diberi makan mengikut masa dan disuruh membersihkan kandang serta lapan ekor anjing peliharaan di rumah warga emas itu.

Lee Chee Keong, 34, anak warga emas yang dibunuh itu, berkata mereka sekeluarga tidak pernah berbuat demikian kepada Wilfrida Soik, 23.

Beliau berkata ayahnya juga tidak pernah menyuruh Wilfrida membersihkan kandang dan anjing berkenaan kerana kesemua anjing itu dijaga dengan baik oleh ayahnya.

Lee berkata demikian ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes Wilfrida yang didakwa membunuh Yeap Seok Pen, 60, di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat Tok Uban, Pasir Mas antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari 7 Disember 2010.

Wilfrida, yang ketika kejadian baru dua minggu bekerja di rumah mangsa, didakwa menggunakan senjata tajam untuk menyebabkan kecederaan parah di muka mangsa sehingga menyebabkan kematian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Seorang lagi saksi, Ong Thian Peng, 33, yang merupakan jiran Yeap, berkata ketika kejadian, beliau terdengar pertengkaran kuat di rumah mangsa serta bunyi radio yang dipasang kuat.

Beliau bagaimanapun tidak pasti butiran pertengkaran dan siapa terlibat.

"Semasa kejadian, saya berada di bengkel membaiki kereta bersebelahan rumah mangsa.

"Saya tidak tahu apakah punca perkara (pertengkaran) itu," katanya.

Ong juga berkata beliau kemudian melihat tertuduh keluar dari rumah itu dengan membawa sebuah beg.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang dikendali Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bersambung 19 Januari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain