suria

Pekerja Kontrak Mengaku Tidak Bersalah Cuba Bunuh Lelaki

SHAH ALAM: Seorang pekerja binaan pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menikam seorang lelaki menggunakan sebilah pisau dengan niat menyebabkan kematian pada awal tahun ini.

Tai Hou Keng, 27, didakwa menikam perut dan rusuk kiri Amir Deen Kadai, 35, di sebuah rumah di Damai Residence Kemuning Utama, Seksyen 32, Shah Alam pada pukul 8.30 malam 2 Januari tahun ini.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Salwa Aswary Abdul Rahim tidak menetapkan nilai jaminan tetapi meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan memandangkan kes itu melibatkan senjata manakala peguam tertuduh V.Ayasamy meminta anak guamnya dibenarkan ikat jamin kerana belum dibuktikan bersalah dan tidak berpelajaran tinggi.

Hakim Asmadi Husin menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 12 Februari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain