suria

Ibu Mangsa Pesawat Cessna Selar Kenyataan Persenda Punca Kejadian

KUALA LUMPUR: Ibu Syed Haidar Syed Zuklifli, juruterbang pelatih yang cedera dalam insiden pesawat terhempas di Empangan Batu Jumaat lepas, meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang sengaja mempersenda punca kejadian itu yang dikatakan berlaku kerana mengelak burung helang.

Sharifah Hatun Hanisah Syed Abd Rahman, 46, yang ditemui Bernama di Hospital Selayang pada Isnin, berkata sesiapa sahaja akan sakit hati dan berang jika ada pihak membuat andaian tanpa menyelidik apa yang sebenarnya berlaku terlebih dahulu.

"Sudahlah anak saya ditimpa bala, ada pula pihak mahu memperlekeh punca insiden. Sesiapa sahaja kalau di tempat saya, pasti kesal kerana ini membabitkan soal nyawa," katanya.

Sharifah Hatun Hanisah, yang berasal dari Perak dan kini menetap di Dataran Templer, Bandar Baru Selayang, berkata anaknya bersama Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 22, dan Shaiful Zafiq Razali, 24, tidak mungkin menipu apatah lagi ada saksi yang melihat pesawat itu mengelak daripada melanggar burung helang.

"Saya diberitahu kejadian itu turut disaksikan dua penduduk Empangan Batu yang ketika itu sedang memancing di kawasan sekitar.

"Oleh itu, adalah jelas dakwaan tersebut (burung) betul dan tidak direka," kata Sharifah Hatun yang bercadang membawa kedua-dua saksi bertemu media tidak lama lagi.

Pada Ahad, seorang pakar pemerhati burung dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia berkata sikap juruterbang yang menyalahkan burung helang dalam kejadian itu adalah tidak munasabah kerana beliau harus peka tentang pergerakan unggas berkenaan.

Dakwa pakar itu lagi, terdapat banyak burung di kawasan Sepang, Pulau Langkawi dan Subang namun beliau tidak pernah mendengar insiden pesawat terhempas kerana mengelak burung di negara ini.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki pesawat Cessna 172 dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) ditemui selamat setelah terhempas dan dilapor hilang di sekitar Batu Caves.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata ketiga-tiga mangsa, yang sebelum ini kritikal dan semi-kritikal, beransur pulih serta sudah mampu berkomunikasi dengan saudara mara.

"Cuma kalau nak kembali berjalan seperti biasa, mereka mungkin mengambil masa yang lama. Apa-Apapun keadaan mereka sudah tidak lagi disifatkan kritikal dan semi-kritikal," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain