suria

Penyedia Khidmat Sokongan Hospital Akan Disiasat - Subramaniam

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sebuah syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital akan disiasat berhubung dakwaan perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Beliau berkata siasatan itu, antara lain, akan melihat sama ada syarikat berkenaan memenuhi tanggungjawab kontraknya.

Ini berikutan laporan berhubung masalah yang menyebabkan bilik bedah di Hospital Sungai Buloh terjejas selain isu sanitasi dan kebersihan membabitkan beberapa hospital kerajaan di Selangor.

"Di bawah kontrak itu, terdapat klausa yang membenarkan kita mengambil tindakan (jika perlu)," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Ponggal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Way di sini Sabtu.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan syarikat itu tanpa menjalankan siasatan terlebih dahulu.

Satu kebakaran membabitkan bekalan tenaga berterusan (UPS) di hospital berkenaan awal bulan ini menyebabkan 12 dewan pembedahan ditutup buat sementara waktu.

Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Khalid Ibrahim memaklumkan Bernama bahawa kerja membaik pulih dijangka siap menjelang 21 Jan depan.

"Dewan pembedahan 1 hingga 12 ditutup atas alasan keselamatan dan kami telahpun memindahkan kes-kes ke enam dewan pembedahan di pusat jagaan harian di mana UPS tidak mengalami gangguan," katanya.

Dr Khalid juga berkata pembedahan elektif di hospital itu telahpun dijadual semula tanpa merujuk sebarang kes ke hospital lain setakat ini.

Menyentuh isu kebersihan, beliau berkata syarikat berkenaan sudah mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu dengan membawa masuk kontraktor baharu.

Pada majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Setia Selangor itu, sejumlah 80 warga emas serta 20 orang kurang upaya masing-masing menerima hamper dan wang tunai RM100.

Seorang pelajar, G. Sritaran, yang memperoleh 7A dan 1B dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, turut menerima RM1,000 daripada persatuan itu sebagai penghargaan di atas kejayaannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain