suria

Perkhidmatan ERL Alami Gangguan, Operasi Disambung 8 Malam Ini

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan rel Express Rail Link's (ERL) yang kini dihentikan buat sementara, dijangka beroperasi semula pukul 8 malam ini.

Gangguan perkhidmatan itu berpunca daripada kegagalan pembekalan kuasa elektrik menerusi 'Overhead Catenary Line' (OCL) yang dikesan di antara Stesen KL Sentral dan Bandar Tasik Selatan.

Timbalan Naib Presiden bagi Pemasaran dan Pengurusan Pembangunan Perniagaan ERL Sdn Bhd, Sheila Shamsudin berkata insiden dilapor berlaku pada pukul 10 pagi tadi.

"Punca masalah itu sedang disiasat," katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Rosma memberitahu Bernama dia hanya mengetahui akan gangguan perkhidmatan tersebut setelah tiba di KL Sentral.

Dia yang merancang menaiki ERL untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga mendakwa ramai penumpang lain tidak dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

"...ada yang terlepas penerbangan kerana tidak dapat menaiki ERL," katanya yang dalam perjalanan ke Kota Baharu. - BERNAMA

Artikel Lain