suria

Cadangan Laksana Semula ISA Terletak Di Tangan Kerajaan - Peguam Negara

PUTRAJAYA: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata keputusan sama ada untuk melaksanakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terletak di tangan kerajaan.

"Itu adalah urusan kerajaan, kerajaan harus memutuskan sama ada ia (ISA) dilaksanakan semula atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perasmian Tahun Perundangan 2014 di sini Sabtu.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pelaksanaan semula ISA bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti yang menjejas kestabilan negara.

Dr Mahathir menyifatkan segelintir puak pelampau ini sebagai kumpulan yang tidak matang dan sanggup mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati yang mengganggu keharmonian dan sensitiviti kaum-kaum di negara ini.

Turut menyokong cadangan itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyifatkan ia perlu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara dapat dikekalkan. - BERNAMA

Artikel Lain