suria

DAP Kedah Minta Nasihat ROS Atasi Kemelut Pemilihan

ALOR SETAR: DAP Kedah meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) menasihati mereka bagi membolehkannya menjalankan pemilihan anggota jawatankuasa peringkat negeri secepat mungkin.

Pengerusinya Lee Guan Aik berkata perkara itu terkandung dalam surat yang diserahkannya kepada wakil ROS Khamis.

"Kami minta ROS bantu dalam keadaan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) tidak ada kuasa. Yang ada kuasa sekarang hanya ROS," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat itu di sini.

Menurut Lee, DAP Kedah mahu kemelut kepimpinan di negeri itu diselesaikan segera memandangkan hampir semua negeri lain sudah mengadakan pemilihan jawatankuasa masing-masing.

Pergolakan kepimpinan DAP Kedah bermula selepas pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, apabila DAP pusat memecat Lee dan melantik jawatankuasa interim yang dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Bagaimanapun, ROS mengiktiraf Lee sebagai Pengerusi DAP Kedah yang sah.

Pada masa yang sama, ROS juga masih belum mengiktiraf keputusan pemilihan semula CEC DAP yang diadakan pada September lepas. - BERNAMA

Artikel Lain