suria

Pengambilan Pekerja Asing Wajib Dimaklum Selepas 14 Hari Diambil Bekerja

KUALA LUMPUR: Majikan diwajibkan memaklumkan pengambilan pekerja asing kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam tempoh 14 hari selepas diambil bekerja.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (KPTKSM), Mohd Jeffrey Joakim berkata, majikan yang ingkar boleh didakwa mengikut Akta Kerja (Pindaan) 2011 yang berkuat kuasa 1 April 2012, dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Majikan juga diwajibkan memaklumkan sebarang penamatan perkhidmatan sama ada oleh mereka atau pekerja asing berkenaan, selain disebabkan tamat tempoh pas pekerjaan, penghantaran balik atau pengusiran pekerja asing itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penamatan.

Ini berdasarkan peruntukan menurut Seksyen 60K akta tersebut, katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan seksyen 57A dan 57B Akta Kerja, mana-mana majikan yang menggajikan pekhidmat domestik asing juga dikehendaki memaklumkan kepada jabatan itu butiran penggajian dalam tempoh 30 hari dari pengambilan selain memaklumkan penamatan perkhidmatan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penamatan.

Mohd Jeffrey berkata, kontraktor untuk buruh di sektor perladangan yang berhasrat membekalkan pekerja atau mengaku janji untuk membekalkan pekerja juga diwajibkan mendaftar dengan KPTKSM melalui borang yang ditetapkan dalam masa 14 hari sebelum membekalkan pekerja berkenaan.

Selain itu, kontraktor untuk buruh juga dikehendaki menyimpan dan menyenggara daftar yang mengandungi maklumat pekerja yang dibekalkan dan mengemukakannya untuk diperiksa oleh Pegawai Tenaga Kerja apabila diminta, katanya.

Untuk sebarang kemusykilan, majikan dinasihati menghubungi jabatan itu di talian 03-8886 5192, manakala borang berkaitan boleh didapati menerusi laman sesawang di jtksm.mohr.gov.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain