suria

Kalimah Allah Khusus Untuk Umat Islam - Mukhriz

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah hari ini mengulangi pendiriannya bahawa penggunaan kalimah 'Allah' adalah khusus untuk orang Islam sahaja.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata pendirian itu selaras dengan fatwa Kebangsaan dan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober lepas yang memutuskan kalimah 'Allah' adalah eksklusif untuk umat Islam.

"Kerajaan negeri menganggap penting untuk menyatakan pendirian ini secara jelas bagi menghindari daripada sebarang perkara tidak diingini walau sekecil mana pun.

"Hubungan harmonis antara agama di Kedah sejak sekian lama meyakinkan kita bahawa pendirian ini langsung tidak akan menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.

Setakat ini, katanya kes berkaitan penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut agama lain agak terpencil, namun ketetapan perlu dibuat sebelum ia menjadi serius.

"Saya sudah berbincang dengan rakan-rakan lain bahawa kita perlu buat kenyataan jelas (berhubung perkara ini)," kata Mukhriz.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju menubuhkan sebuah jabatan tadbir urus dan integriti bagi memantapkan lagi pentadbiran negeri ini.

"Kedah juga ingin mencontohi tadbir urus dan integriti tinggi yang ditunjukkan oleh kerajaan Persekutan dan untuk itu, kita rasa sangat sesuai sebuah jabatan baru ditubuhkan," katanya.

Beliau berkata jabatan baru itu akan diketuai oleh seorang pegawai tinggi bertaraf N54 atau JUSA manakala timbalannya pula akan dicadangkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Langkah itu juga menujukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam soal tadbir urus dan integriti selain berharap ia dapat mendedahkan punca kegiatan tidak sihat seperti penyalahgunaan kuasa, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain