suria

Polis Pertingkat Operasi Buru Suspek Tembak Polis

KUANTAN: Polis mempertingkatkan operasi memburu dua suspek yang dipercayai menembak mati seorang anggota polis di ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) dekat Jaya Gading, di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata polis kini memperluaskan kawasan operasi memburu suspek di sekitar daerah Kuantan.

"Kami juga mengharapkan kerjasama dan bantuan orang ramai bagi menyalurkan sebarang maklumat untuk membantu mengesan suspek terbabit," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata polis tidak menolak berkemungkinan kedua-dua suspek terbabit merupakan pemburu haram yang memiliki senjata api tanpa lesen.

Pada Isnin, Koperal Abdul Halim Mat Ali, 48, ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian muka dan dada di kawasan ladang LKPP dekat Jaya Gading.

Mayat anggota terbabit ditemui pekerja peladang kira-kira pukul 9 pagi.

Abdul Halim bersama tiga lagi anggota polis pada petang Ahad, terserempak dengan dua lelaki yang memiliki dua laras senapang, menaiki sebuah motosikal.

Keempat-empat mereka berpecah mengejar suspek, sebelum Abdul Halim dilaporkan gagal dihubungi, dan gerakan mencarinya dilakukan Polis Kuantan.

Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Mendi dekat Bera pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain