suria

Penerbangan MAS Jeddah-KL Lewat Kerana Proses Pinjam Tangki Oksigen

KUALA LUMPUR: Penerbangan MAS, MH151 dari Jeddah ke Kuala Lumpur yang tertunda lebih tiga jam pada Sabtu adalah disebabkan pesawat itu perlu meminjam enam tangki oksigen untuk kegunaan kabin pesawat.

MAS dalam satu kenyataan di sini, berkata masalah kekurangan oksigen itu berlaku selepas seorang penumpang dalam penerbangan Kuala Lumpur-Jeddah sakit teruk dan memerlukan bantuan oksigen menerusi tangki.

"Penerbangan hanya boleh berlepas setelah pesawat dilengkapi jumlah minimum tangki oksigen. Sehubungan itu MAS terpaksa mendapatkan kelulusan untuk meminjam tangki terbabit daripada operator lain.

"Proses mendapat kelulusan dan meminjam enam tangki terbabit mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan," kata kenyataan itu.

Penerbangan itu sepatutnya berlepas pukul 10 malam waktu tempatan namun akibat kejadian tersebut penerbangan tertangguh selama tiga jam 15 minit.

Menurut kenyataan itu, MAS berjaya memperoleh kelulusan pada 12.30 tengah malam dan dibenar berlepas pada 1.15 pagi. Penerbangan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2.38 petang Ahad.

Kenyataan itu juga menegaskan kru penerbangan memaklumkan masalah yang dihadapi kepada penumpang selain memberi perkhidmatan sebaik mungkin sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, seorang penumpang yang enggan dikenali menghubungi Bernama, mendakwa sesetengah daripada penumpang muntah dan pitam akibat kekurangan oksigen.

"Ini tidak sepatutnya berlaku. MAS sepatutnya memastikan penerbangan sudah sedia untuk berlepas sebelum membenarkan penumpang menaiki pesawat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain