suria

Suspek Menyamar Pekerja SESB Perdaya Pengguna Di Tawau, Lahad Datu Diberkas

TAWAU: Suspek yang menyamar sebagai pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan memperdayakan pengguna di daerah ini dan Lahad Datu sejak awal tahun lepas berjaya diberkas Jumaat lepas.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Muhamad Nazri Pazil berkata suspek berumur 40-an dan merupakan warga tempatan itu berjaya diberkas anggota Polis Bantuan SESB apabila terserempak dengannya di kawasan Jalan Habin Hussin di sini.

"Suspek yang amat dikehendaki oleh pihak berkuasa sejak awal tahun lepas itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Muhamad Nazri berkata aktiviti penyamaran oleh suspek itu dilaporkan bermula sejak awal tahun lalu dan modus operandi yang digunakan ialah berpura-pura memeriksa meter elektrik sebelum meminta sejumlah wang daripada mangsa yang terdiri daripada rumah persendirian (domestik) ataupun kedai (komersial).

Sementara itu, beliau menasihatkan pengguna segera membuat laporan polis sekiranya pernah didatangi oleh individu yang tidak dikenali dan meminta bayaran pemeriksaan atau penukaran meter elektrik.

Semua kerja pemeriksaan dan penukaran meter elektrik dilakukan oleh anggota kerja SESB dan bukannya oleh pihak ketiga manakala pembayaran hanya boleh dibuat di pejabat SESB sahaja dan anggota kerja SESB tidak boleh menerima sebarang pembayaran bagi pihak syarikat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain