suria

Dua Maut, Seorang Cedera Parah Digilis Lori Pasir

JOHOR BARU: Dua penunggang motosikal maut manakala seorang cedera parah selepas dirempuh dan digilis sebuah lori pasir di di KM 20 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata mangsa yang maut dalam kemalangan pada pukul 7.45 pagi itu ialah Mohd Nazrin Kahar, 39 dan Lim Kun Yong, 54.

"Lori yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari Taman Johor Jaya menghala bandar raya Johor Baharu itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa motosikal yang berada di jalan bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini untuk bedah siasat, katanya.

Beliau berkata seorang penunggang lelaki yang cedera parah itu hanya dikenali sebagai Tan berusia 40-an, turut menerima rawatan di hospital sama.

Pemandu lori berkenaan yang hanya cedera ringan, ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Raduan Abd Rashid, 31, berkata kejadian berlaku dengan pantas apabila lori terbabit terbabas secara tiba-tiba lalu merempuh beberapa buah motosikal di laluan bertentangan.

Mohd Raduan yang juga rakan sekerja Mohd Nazrin berkata beliau berada tidak jauh dari lokasi kemalangan dan berasa amat terkejut kerana mangsa yang terbunuh merupakan rakan sekerjanya.

"Selepas memberhentikan kereta, saya melihat ada dua penunggang motosikal yang hampir hancur akibat digilis lori itu. "Saya kemudian menolong mangsa yang cedera dan membantu mengutip organ mangsa yang berterabur di atas jalan. Ketika itu, saya tidak tahu mangsa adalah rakan sekerja sendiri," katanya yang bekerja di sebuah syarikat pengangkutan di sini. - BERNAMA

Artikel Lain