suria

Polis Sabah Siasat Sembilan Kes Peminjam Wang Tanpa Lesen Tahun Lepas

KOTA KINABALU: Polis Sabah menyiasat sembilan kes berkaitan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen sepanjang tahun lalu, meningkat tiga kes berbanding enam kes pada 2012, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah Supt Saiman Kasran.

Katanya sepanjang 2013 juga 16 lelaki berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun dipercayai Ah Long ditangkap berbanding 12 tangkapan dalam tempoh sama pada 2012.

Daripada sembilan kes yang disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 pada tahun 2013, dua kes dibawa ke mahkamah.

"Sepanjang tahun lalu, kita telah melaksanakan 103 Operasi Vulture di bawah Op Cantas Khas dan berjaya merampas 3,963 kain rentang dan pelekat berkaitan peminjaman wang tanpa lesen," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Saiman berkata kebanyakan anggota Ah Long yang ditahan berasal dari Semenanjung dipercayai cuba mengembangkan operasi mereka di Sabah dengan menyasarkan pekerja swasta dan kakitangan awam serta menawarkan jumlah pinjaman sekitar RM10,000 hingga RM100,000.

Bagaimanapun Saiman berkata kegiatan Ah Long di Sabah masih terkawal dan belum ada laporan mengenai penggunaan kekerasan berhubung aktiviti itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain