suria

Peguam Negara Sangkal Dakwaan Jabatan Peguam Negara Lemah

PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara adalah lemah dan tidak mampu terutama dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi adalah tidak berasas.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata jabatan itu mengambil perhatian dan menghargai sepenuhnya kebimbangan orang ramai.

Beliau menegaskan bahawa pendakwaan terhadap orang tertentu bergantung semata-mata kepada sama ada wujud bukti yang cukup untuk membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh.

"Apabila didakwa, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kemudian mengemukakan keterangan yang ada dan yang boleh diterima bagi membuktikan kes pendakwaan. Apa yang perlu ditekankan di sini adalah bahawa tidak ada keterangan yang perlu untuk membuktikan tuduhan diabaikan.

"Kewajipan untuk mengemukakan semua keterangan juga termasuk memanggil semua saksi penting. Bagaimanapun ini bergantung sepenuhnya kepada ketersediaan dan kerjasama saksi dalam memberi keterangan dalam mahkamah," tegas Abdul Gani dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata bahawa sama ada saksi memberi keterangan sebenarnya bagaimanapun bukan dalam kuasa pendakwa raya.

"Apa yang penting di sini ialah kita tidak pernah membumbui atau mereka-reka keterangan dan akhirnya apa yang kita lakukan sekiranya saksi belot, kita akan mencabar dan mendakwanya atas tuduhan sumpah bohong," katanya.

Abdul Gani berkata ia juga perlu ditegaskan bahawa sebaik sahaja semua keterangan kes pendakwaan dikemukakan maka terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan sama ada pertuduhan terhadap tertuduh dibuktikan.

"Bagaimana dan apa yang mahkamah memutuskan adalah satu perkara di luar kawalan dan kuasa kami. Walau bagaimanapun, jika kita berpendapat bahawa keputusan itu cacat, maka kami akan menggunakan hak kami untuk merayu," katanya.

Mengenai pelantikan TPR, beliau menjelaskan bahawa kes ditugaskan untuk TPR mengikut kerumitan dan selok-belok sesuatu kes di mana kes-kes yang melibatkan tahap kerumitan yang lebih tinggi akan dikendalikan oleh TPR kanan.

Dalam kenyataan itu, Abdul Gani juga menyentuh mengenai kesukaran yang dihadapi oleh jabatan itu khususnya dalam kes-kes berprofil tinggi termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia di mana alasan utama pembebasan oleh Mahkamah Rayuan adalah bukan arahan hakim perbicaraan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh perayu dan tidak memanggil DSP Musa Safri.

Sambil menghormati Mahkamah Rayuan, beliau berkata bukan arahan atau salah arah mahkamah perbicaraan tidak harus dikaitkan kepada pihak pendakwaan sebagai "ia tiada kaitan dengan perlilaku pendakwaan."

Beliau berkata jabatan itu menegaskan bahawa testimoni Musa tidak relevan kepada naratif kes pendakwaan.

"Oleh itu, Pejabat ini telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Sementara itu, keterangan dua bekaas menteri dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes penipuan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, Abdul Gani berkata mahkamah memutuskan bahawa tidak ada elemen penyembunyian, penipuan, salah nyata atau dorongan oleh tertuduh berhubung soal pembelian tanah tersebut.

"Keputusan in jelas dapatan fakta berdasarkan kredibiliti bekas menteri.

"Mahkamah memutuskan bahawa berdasarkan tafsiran bekas menteri, ia adalah amat tidak kemungkinan bahawa Kabinet telah secara palsu didorong untuk meluluskan pembelian tanah itu," kata Abdul Gani. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain