suria

Keadaan Mental Suami Isteri Bunuh Anak Perempuan Stabil

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat memerintahkan pertuduhan ke atas sepasang suami isteri yang didakwa membunuh anak perempuan mereka berusia lima tahun diteruskan selepas mendapati keadaan mental pasangan itu stabil.

Majistret K B Elena Hong Tze Lan membuat keputusan itu selepas menerima laporan mental Hiew Yook Cheang, 50, dan isteri Wong Yin Tinn, 38.

Beliau kemudian memerintahkan pertuduhan dibacakan semula terhadap pasangan berkenaan.

Pasangan itu didakwa membunuh Mabel Hiew Mun, di No 20-3A, Jalan PJS 3/46, Sri Manja Square, Taman Sri Manja antara 7 petang, 13 Sept dan 8 pagi, 17 Sept 2013 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Feb untuk sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pada 30 September lepas, pertuduhan terhadap pasangan itu dikemukakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid dan mahkamah memerintahkan mereka menjalani pemeriksaan mental.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chris Kooi Wei Kit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain