suria

Berakhirnya Satu Era Yang Digeruni Ramai...

Moyes masih memerlukan masa untuk membentuk pasukan yang mantap.
Moyes masih memerlukan masa untuk membentuk pasukan yang mantap.
Moyes masih memerlukan masa untuk membentuk pasukan yang mantap.

INI adalah saat di mana berakhirnya satu era yang digeruni oleh musuh sejak berdekad lamanya.

Kekalahan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester United ditangan Tottenham Hotspur 1-2 pada awal pagi Khamis menandakan perjuangan mereka musim ini sudah sampai ke penghujungnya walaupun masih terdapat baki 18 lagi perlawanan liga.

Manchester United bukan lagi sebuah pasukan yang mencatat legasi sebagai mampu mencuri kemenangan walaupun perlawanan telah masuk ke masa kecederaan.

Cengkaman dan reputasi itu telah lenyap apatah lagi kekalahan ini adalah yang keempat di tempat sendiri pada musim ini.

United telah pun tewas di tangan Everton, Newcastle dan West Brom di Old Trafford.

Selepas perlawanan yang ke-20 itu, mereka dapati mereka berada di tangga ke-7 liga dan 11 mata di belakang pendahulu liga.

Hakikatnya bukan United tidak berjuang habis-habisan untuk memastikan setidak-tidaknya mereka mampu mencuri satu mata daripada perlawanan itu tetapi sebaliknya pasukan lawan tidak lagi menggeruni mereka sepertimana dahulu walaupun bermain di Old Trafford.

Ini adalah perang saikologi kerana kelibat Sir Alex Ferguson tidak lagi berada di tepi padang untuk memaki hamun pemain-pemainnya sendiri atau memberikan gambaran kegerunan kepada pemain lawan.

Malah pengadil juga tidak lagi berasa tertekan untuk beraksi di Old Trafford kerana Alex Ferguson tiada lagi untuk memberi 'gangguan saikologi' ke atas mereka.

Kegagalan David Moyes untuk membawa aura yang ditinggalkan Alex Ferguson ke tahap berikutnya adalah satu rahmat kepada pengurus baharu Spurs, Tim Sherwood yang kini telah mengutip 10 mata dari maksimum 12 mata dalam aksi keempatnya sebagai pengemudi baru kelab itu.

Tidak sekadar itu sahaja malah dia telah berjaya melonjakkan semula karier penyerang Togo yang dilupai pada era Andre Villa Boas iaitu Emmanuel Adebayor, yang menyumbatkan golnya yang keempat sejak menjadi pilihan utama semula di bawah kepimpinan Sherwood.

Sherwood kelihatan masih terikat dengan sistem lama 4-4-2 tetapi siapa peduli akan semua itu kerana menjelang separuh masa kedua mereka telah mendahului 2-0.

Walaupun Daniel Welbeck terus mengekalkan prestasi tinggi dengan menjaringkan gol liganya yang kelima tetapi itu masih tidak memadai untuk membawa perubahan apa-apa.

Rooney juga bermain mati-matian untuk mencari mata seri atau kemenangan untuk United tetapi penyerang dengan reputasi sepertinya harus memberi fokus untuk mencari gol penyamaan atau kemenangan dan bukannya cuba mempertahankan setiap inci bahagian di atas padang.

Tetapi itulah yang dilakukan Rooney dan tenaganya disia-siakan begitu sahaja.

Namun siapa yang boleh menyalahkan Rooney kerana itulah sifat semulajadinya.

Moyes kini harus melupakan soal mempertahankan kejuaraan liga dan menumpukan perhatian kepada Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan Piala Capital One yang kini mereka berjaya menempatkan diri di peringkat separuh akhir.

Hanya itu sajalah konsolasi yang mampu dilakukan Moyes untuk mengubati kehampaan semua peminat tegar United atau sekurang-kurangnya memberi gambaran yang dia bukannya pilihan yang salah untuk menggantikan Ferguson.

Cuma dia memerlukan masa untuk membentuk pasukannya sendiri dan membina empayar baru.

FAKTA PERLAWANAN:

Man Utd: (4-3-2-1) De Gea 7; Smalling 6 (Kagawa 61, 6), Evans 7, Vidic 7, Evra 7; Carrick 6 (Hernandez 61, 6), Cleverley 6 (Young 84, 6); Valencia 5, Rooney 7, Januzaj 7; Welbeck 7.

Pemain Gantian Yang Tidak Digunakan: Ferdinand, Lindegaard, Fletcher, Buttner.

Gol: Welbeck 67.

Tottenham: Lloris 8; Walker 6, Dawson 7, Chriches 7, Rose 6; Capoue 6 (Bentaleb 64, 6), Dembele 7, Eriksen 8; Lennon 7, Adebayor 7 (Chadli 70, 6); Soldado 7 (Kane 75).

Pemain Gantian Yang Tidak Digunakan: Lamela, Naughton, Friedel, Fryers.

Gol: Adebayor 34, Eriksen 66.

Pengadil: Howard Webb.

Pemain Terbaik Perlawanan: Eriksen.

Artikel Lain