suria

Tukar Tarikh Perhimpunan, Jangan Serentak Dengan Ambang Tahun Baharu - Nazri Aziz

SEPANG: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta penganjur perhimpunan haram menukar tarikh perhimpunan supaya tidak diadakan serentak dengan sambutan ambang Tahun Baharu 2014 malam Selasa.

Dengan nada sinis Mohamed Nazri berkata jika penganjur menukar tarikh perhimpunan tersebut, ianya mungkin boleh dijadikan "produk pelancongan" yang baharu kepada pelancong dari luar negara.

"Kita boleh menunjukkan dan membuktikan Malaysia mengamalkan demokrasi politik segar di mana rakyat boleh berprotes secara haram tanpa ditangkap.

"Mungkin saya boleh panggil pelancong untuk melihat keburukan segelintir parti politik di negara ini," katanya dengan nada sinis ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan haram untuk mengguling kerajaan yang akan diadakan malam Selasa di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur serentak dengan sambutan ambang tahun baharu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa.

Turut hadir Presiden Matta Hamzah Rahmat; Pengarah Urusan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Rashidi Hasbullah.

Mohamed Nazri berkata amalan berprotes adalah suatu benda biasa yang juga dilakukan di negara lain seperti di Mesir dan Ukraine namun janganlah dilakukan pada hari orang ramai ingin menyambut tahun baharu.

"Malam ini orang ramai mempunyai pilihan sama ada hendak ke Dataran Merdeka untuk menyambut tahun baharu atau menyertai perhimpunan haram," katanya.

Sementara itu ketika mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pengurangan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, beliau menyokong pengurangan itu kerana baginya jemaah menteri bekerja untuk rakyat.

"Saya rasa dengan keadaan ekonomi sekarang, jemaah menteri sepatutnya mendahului perkara ini walaupun elaun wakil rakyat di Selangor naik tetapi kita (BN) mengurangkannya. Apa yang penting kita cukup makan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain