suria

SOP Baharu Tangani Banjir - Muhyiddin

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jawatankuasa Bencana Negara bakal melaksanakan beberapa langkah lebih berkesan termasuk mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi menangani bencana banjir.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa itu Jumaat ini yang akan dipengerusikannya dan disertai wakil kerajaan negeri dan beberapa agensi berkaitan.

"Menerusi mesyuarat ini nanti kita akan koordinasikan secara lebih berkesan termasuk mengambil kira penggunaan sistem amaran awal banjir. Walaupun kadang-kadang susah untuk kita ramal tapi mungkin ada satu cara menggunakan teknologi terkini untuk meramalkan seminggu akan datang jumlah hujan yang akan turun di sesuatu kawasan.

"Kalau di Barat menggunakan teknologi untuk meramalkan bila salji akan turun, jadi kenapa tidak kita gunakan teknologi secanggih itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan sekokah sumbangan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Permatang Badak, di sini, Selasa.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan melihat langkah-langkah penambahbaikan lain termasuk meningkatkan kemudahan di pusat pemindahan banjir dan pusat penempatan stok bekalan makanan.

"Ada beberapa langkah yang perlu kita lakukan dengan mengambil kira pengalaman banjir di beberapa negeri baru-baru ini antaranya pusat penempatan, stok bekalan bahan serta keadaan logistik, waktu bila tidak boleh gunakan jalan raya perlu gunakan laluan udara dan juga laut.

"Selain itu di kawasan penempatan pemindahan perlu ada kemudahan lebih contohnya tempat memasak, menambah tandas serta peralatan disediakan lebih awal.

"Walaupun sekian lama dulu kita sudah lakukan semua ini tapi dengan trend cuaca yang sukar diramal bermakna kita harus lihat pada satu SOP baharu yang lebih kemas dan terancang untuk menjangkau keadaan luar biasa dan perkara ini akan diperhalusi serta diputuskan nanti pada mesyuarat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sesi baharu persekolahan 2014 yang bermula Khamis ini bagi sekolah di Sarawak boleh ditangguhkan buat sementara waktu sekiranya keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.

"Arahan sudah dikekuarkan kepada pengarah pendidikan negeri, kalau boleh tangguh persekolahan sehingga keadaan selamat dan kelewatan dalam proses pembelajaran itu boleh diatasi dengan adakan kelas tambahan pada masa-masa lain," katanya.

Mengenai banjir di Pahang baru-baru ini, Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak 41 sekolah di negeri itu terjejas akibat banjir mangakibatkan kerugian kira-kira RM7.3 juta.

"Kerugian dialami membabitkan pelbagai kerosakan antaranya kerusi, meja dan peralatan mengajar termasuk 31,000 set buku teks. Peralatan yang rosak ini ada yang sudah dan sedang digantikan bagi memastikan pelajar dapat menempuh sesi persekolahan baharu bermula Khamis ini," katanya.

Mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kenaikan tambang bas sekokah, Muhyiddin berkata pengusaha bas sekolah tidak boleh menaikkan tambang secara sewenang-wenangnya.

"Saya harap persatuan pemilik bas sekolah peka dengan keadaan waktu kini, mereka perlu berpandukan kepada kawalan yang ditetapkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain