suria

Prasarana Nafi Perkhidmatan LRT & Monorel Dihentikan 6 Petang Ini

KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menafikan dakwaan kononnya perkhidmatan aliran transit ringan (LRT) dan monorel kendaliannya dihentikan 6 petang Selasa kerana urusan penyelenggaraan seperti yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pengarah Kumpulan Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana Masnizam Hisham berkata dakwaan berkenaan adalah palsu dan amat tidak bertanggungjawab kerana boleh mengakibatkan panik di kalangan masyarakat ibu kota.

"Prasarana akan membuat laporan polis dan juga kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya dalam satu kenyataan.

SMS yang tersebar itu menyebut kononnya ia memetik laporan Bernama.

Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata ada pihak telah mengggunakan nama Bernama untuk menghebahkan maklumat palsu kononnya sistem LRT, monorel dan komuter akan menghentikan perkhidmatan 6 petang ini untuk tujuan penyelenggaraan.

Masnizam berkata oleh yang demikian Prasarana menuntut tindakan keras diambil terhadap penyebar SMS berkenaan.

"Kami tegaskan perkhidmatan LRT bukan sahaja akan beroperasi seperti biasa tetapi akan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi di stesen utama dan 1 pagi di stesen-stesen lain bersempena dengan sambutan Tahun Baharu 2014," kataya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain