suria

Polis Tahan Suspek Bersama M16 Selepas Setengah Jam Merompak

TANAH MERAH: Polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas selaras M16, kira-kira setengah jam selepas suspek itu merompak sebuah kedai serbaneka di sini, malam Isnin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata lelaki itu ditahan ketika sedang minum bersama dua lagi rakannya yang turut terbabit dalam rompakan yang dilakukan mereka pada kira-kira 8.15 malam.

"Anggota polis telah mengesan kenderaan yang digunakan mereka iaitu hanya jarak dua kilometer dari tempat kejadian namun apabila mengetahui kehadiran polis, ketiga-tiga mereka yang minum di sebuah kedai makan berhampiran telah melarikan diri.

"Polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 51 tahun selepas bergelut dan terpaksa melepaskan tembakan ke udara manakala dua lagi rakannya telah melepaskan diri dalam semak berhampiran," katanya kepada pemberita di sini, malam Isnin.

Mazlan berkata, polis kemudiannya menemui senjata api jenis Colt M16 bersama-sama satu kelopak megazin dan sebilah parang, sabit serta pisau lipat dalam kereta itu.

Polis kini giat memburu dua lagi lelaki dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar menghubungi polis, katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mazlan berkata, sebelum itu ketiga-tiga lelaki yang memakai topeng itu telah merompak kedai berkenaan dan melarikan wang tunai sebanyak RM300 setelah seorang daripadanya melepaskan satu das tembakan ke arah peti sejuk di kedai itu.

"Mereka kemudiannya telah mengarahkan pekerja kedai membuka laci mesin tunai dan terus mengambil wang tunai tersebut dan kemudiannya melarikan diri bersama hasil rompakan dengan sebuah kereta," katanya.

Menurutnya lelaki yang ditahan itu merupakan rakyat tempatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain