suria

Polis Selangor Rampas 56 Helai Baju-T Berunsur Provokasi

SHAH ALAM: Polis Selangor merampas sebanyak 56 helai baju-T semalam yang mempunyai pelbagai tulisan berunsur provokasi dipercayai untuk dipakai pada perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan ketika sambutan ambang tahun baharu malam Selasa.

Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Datuk Abd Rahim Jaafar berkata kesemua baju itu dirampas dalam serbuan pada pukul 2 pagi Isnin di sebuah rumah di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan dekat sini hasil maklumat awam dan risikan.

"Hasil serbuan, polis menemui 56 helai baju-T yang mempunyai pelbagai cetakan tulisan yang mempunyai elemen subversif serta boleh menimbulkan provokasi.

"Polis turut merakam percakapan seorang lelaki berumur 37 tahun yang menghuni rumah itu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan baju tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.

Abd Rahim berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai 'free-lance' menjual baju-T tersebut dengan harga RM30 sehelai menerusi internet.

Katanya, polis masih menjejaki suspek utama kes ini iaitu rakan serumah lelaki berumur 37 tahun itu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti mencetak kesemua baju berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu percubaan dalam aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain