suria

Enam Lagi NGO Buat Laporan Polis Bantah Himpunan Guling Kerajaan

ALOR SETAR: Enam badan bukan kerajaan (NGO) dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Alor Setar pada Selasa membuat laporan polis mendesak kerajaan tidak bertolak ansur dengan penganjur Himpunan Guling Kerajaan.

Wakil Gagasan Generasi Gemilang Parlimen Kuala Kedah (Gagah), Perkasa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Persatuan Ibu Tunggal dan Persatuan Veteran Umno, membuat laporan serentak di Balai Polis Kuala Kedah pada 11.30 pagi Selasa.

Jurucakap NGO tersebut, Datuk Abdul Mutholib Harun berkata tindakan tegas perlu dikenakan termasuk melucutkan kerakyatan penghasut himpunan itu di bawah Akta Hasutan.

"Beribu laporan telah dibuat terhadap penganjur himpunan itu. Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri tidak boleh lagi berlembut dengan penganjurnya yang disifatkan sebagai pengkhianat bangsa dan negara.

"Rakyat Kuala Kedah hari ini bersatu untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi dan mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Ketua Wirawati Perkasa Alor Setar, Hasnah Md Hassan pula mendesak kerajaan mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengawal kumpulan pelampau.

"Perkasa yakin majoriti rakyat menyokong akta ini dilaksanakan agar tindak- tanduk kumpulan ini dapat dikawal demi negara," katanya.

Pengerusi PBTM Kuala Kedah Abdul Rahman Hassan menegaskan himpunan tersebut hanya merugikan bangsa Melayu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain