suria

Tempoh Pemeriksaan Status Mental Pembantu Rumah Warga Indonesia Dilanjut

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi membenarkan pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa membunuh majikannya tiga tahun lepas, terus menjalani pemeriksaan status mentalnya semasa kejadian di Hospital Permai Johor selama 10 hari lagi.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa pemeriksaan status mental Wilfrida Soik di hospital berkenaan belum siap.

Pada 17 Nov lepas, Ahmad Zaidi memerintahkan Wilfrida dihantar ke Hospital Permai bagi pemeriksaan menentukan status mentalnya ketika kejadian selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Wilfrida, 23, yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, Indonesia didakwa membunuh Yeap Seok Pen, 60, di sebuah rumah di Kampung Lubok Tapah, Pasir Mas antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari pada 7 Dis 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zaidi menetapkan 12, 19, 26 hingga 30 Jan depan sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.-BERNAMA

Artikel Lain