suria

MRT Corp Tutup Sementara Sebahagian Jalan Tun Razak, Persimpangan Saujana Impian

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan penutupan sementara pada sebelah malam di lorong paling kiri Jalan Tun Razak selama empat hari dari Rabu.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Isnin, penutupan itu ialah dari 10 malam hingga 5 pagi setiap hari untuk melancarkan kerja-kerja pemeriksaan lurang di sepanjang jalan itu untuk pembinaan MRT.

"Penutupan laluan sepanjang 400 meter itu ialah dari persimpangan Jalan Selatan ke Jalan Inai," menurutnya.

Menurut MRT Corp, juga akan dilaksanakan penutupan sementara lorong paling kanan di jalan susur di Persimpangan Saujana Impian dari Kajang ke Kuala Lumpur (Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Penutupan sementara itu akan bermula dari Rabu hingga 24 Mac, dan pengguna jalan raya yang menghala ke Kuala Lumpur masih boleh menggunakan jalan susur itu, menurut kenyataan itu.

Penutupan itu perlu untuk melancarkan kerja-kerja penyediaan bagi pembinaan tiang-tiang MRT, dan melibatkan pelan pengurusan trafik komprehensif yang telah dikaji oleh pihak Lebuhraya Grand Saga dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk meminimumkan gangguan kepada aliran trafik, menurutnya. - BERNAMA

Artikel Lain