suria

Kawalan Di Sempadan Tetap Terkawal - Panglima Dua Divisyen

PASIR MAS: Keadaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand adalah terkawal walaupun berlaku beberapa kejadian termasuk letupan bom di selatan Thailand baru-baru ini.

Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shukuri Ahmad berkata anggota pasukan keselamatan Malaysia tetap bersiap sedia menangani keadaan.

Beliau melawat kawasan sempadan di Jeram Perdah, Rantau Panjang pada Ahad

Turut hadir ialah Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Datuk Mohd Zaki Hamzah dan Panglima Briged Sempadan, Brig Jen Hasagaya Abdullah.

Mohd Shukuri juga berkata sejak berlaku siri letupan bom di Danok pada 22 Dis lalu, jumlah rakyat Malaysia yang mengunjungi selatan Thai dilaporkan semakin berkurangan.

"Ini mungkin disebabkan rakyat negara kita telah mengambil langkah berwaspada kerana keadaan di selatan Thailand sememangnya tidak menentu," katanya.

Sebanyak lima siri letupan berlaku pada pagi dan petang 22 Dis di Padang Besar, Danok dan Sadao yang mengorbankan dua rakyat Thai sementara 25 lagi cedera.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukuri berkata pihak tentera telah menahan 24 pendatang asing tanpa izin dan merampas barangan seludup seperti bahan bakar dan mercun yang dianggarkan bernilai RM200,000 di sepanjang sempadan Kelantan bulan ini.

"Saya amat puas hati dengan pencapaian anggota tentera di sempadan ini dan apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang membanggakan. Anggota tentera kita tetap berkawal seperti biasa tanpa mengira masa bagi mengekang kemasukan pendatang dan penyeludupan," katanya.

Sementara itu Mohd Zaki meminta rakyat negara ini agar menggunakan laluan sah untuk masuk ke negara jiran bagi mengelak berlakunya masalah kepada mereka.

Katanya terdapat kira-kira 142 pangkalan haram di sepanjang sempadan Jeli dan Tumpat.- BERNAMA

Artikel Lain