suria

Gunakan 'Kod Adam' Atasi Kes Kanak-Kanak Hilang

PETALING JAYA: Pusat membeli-belah, lapangan terbang, sekolah dan tempat-tempat awam lain perlu mempunyai mekanisme perlindungan kanak-kanak bagi menangani bilangan kes kehilangan kanak-kanak yang tinggi.

Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Presiden MY Wong berkata, walaupun beberapa pusat membeli-belah membuat pengumuman sekiranya berlaku kehilangan atau menjumpai kanak-kanak di dalam premis, tetapi terdapat langkah-langkah lain yang boleh diguna pakai.

"Sebagai contoh, beberapa pusat membeli-belah di luar negara mengunci dan memantau pintu keluar kompleks sebaik sahaja kanak-kanak dilaporkan hilang," katanya.

Di Amerika Syarikat dan Kanada, pusat membeli-belah, hospital dan muzium memohon 'Kod Adam' apabila kanak-kanak dilaporkan hilang di mana pekerja mengunci dan memantau semua akses luar bangunan dan mengadakan operasi mencari kanak-kanak yang hilang.

Wong, yang juga Anggota jawatankuasa pemandu kehormat Childline Malaysia berkata, sekolah-sekolah dan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak juga harus membuat saringan terhadap pengunjung.

" Salah satu punca utama bagi kehilangan kanak-kanak adalah kekurangan langkah berjaga-jaga. Saya melihat ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka bersendirian di kedai-kedai kopi semasa mereka memesan makanan dan kanak-kanak bermain bersendirian di dalam lif.

"Mereka dengan mudah boleh diculik dalam situasi itu," katanya.

Muka hadapan akhbar The Star pada Sabtu melaporkan bahawa 5,721 rakyat Malaysia dilaporkan hilang tahun lepas dan hanya 54.7% daripada mereka ditemui. Dari Januari hingga 23 Disember tahun ini, seramai 4,998 orang dilaporkan hilang tetapi hanya 48% daripada mereka akhirnya dijumpai.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Seksual dan Kanak-kanak Bukit Aman, Asisten Komisioner Hamidah Yunus berkata, rakyat Malaysia yang paling ramai hilang (terutamanya antara umur 13 dan 17) adalah mereka yang lari dari rumah didorong oleh masalah keluarga dan keinginan untuk bebas.

Wong berkata, Malaysia diletakkan di Senarai Pemerhatian Peringkat 2 bagi empat tahun berturut-turut berhubung dengan penyeludupan manusia.

"Sesetengah kes penculikan kanak-kanak bertujuan untuk mendapatkan tebusan. Tetapi terdapat juga beberapa kes menculik kanak-kanak untuk menjual bahagian-bahagian badan atau organ-organ mereka di pasaran gelap," katanya.

Pengarah Eksekutif Protect and Save the Children, P. Nagasayee Malathy menggesa ibu bapa untuk memastikan pengangkutan yang digunakan oleh anak-anak mereka ke sekolah adalah selamat.

"Galakkan anak anda untuk mendedahkan masalah mereka, terutamanya apabila anda mendapati terdapat orang yang tidak dikenali berkomunikasi dengan mereka, " katanya.

RHB Banking Group, yang menjalankan program tanggungjawab sosial korporat untuk mencari kanak-kanak hilang, merupakan bank pertama di Malaysia menggunakan ATM untuk memaparkan poster kanak-kanak hilang sejak 2007.

"RHB telah terlibat dalam kes-kes Tien Yee Wah, Nurin Jazlin Jazimin, Sharlinie Mohd Nashar, Muhammad Asmawi Jalaluddin, Nisha Chandramohan dan Lee Xin Ru," menurut kenyataan bank itu, sambil menambah bahawa ianya berjaya menemui kanak-kanak yang hilang dari Sabah pada tahun lepas.

Artikel Lain