suria

Kerajaan Belanja RM3.75 Bilion Untuk Faedah Bekas Tentera Setiap Tahun

KULIM: Kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia membelanjakan RM3.75 bilion untuk menjaga kebajikan lebih 100,000 bekas anggota angkatan tentera tahun ini.

Ketua Pengarah JHEV, Datuk Mohd Noor Daud berkata, jumlah yang dibelanjakan itu termasuk faedah persaraan sebanyak RM1.9 bilion kepada 102,622 veteran tentera dan rawatan perubatan berjumlah RM56 juta membabitkan 14,256 orang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 30 veteran keturunan India dan makan malam Persatuan Veteran India ATM cawangan Kedah/Perlis di sini malam Sabtu, beliau berkata perbelanjaan itu juga meliputi bantuan mengurus jenazah sebanyak RM2.3 juta membabitkan 1,097 veteran.

Mohd Noor berkata, seramai 84,000 veteran ATM yang tidak berpencen dan balu mereka turut menerima sumbangan berjumlah RM84 juta.

Katanya, 4,516 veteran menerima imbuhan sara hidup berjumlah RM7 juta, bantuan persekolahan kepada 1,571 orang anak (RM1 juta), 5,033 orang menerima bantuan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (RM6.4 juta) dan 387 veteran serta anggota keluarga menerima bantuan peralatan perubatan berjumlah RM250,000.

Di bawah program Strategi Lautan Biru pula, JHEV dan agensi kerajaan berkaitan bekerjasama membaik pulih dan membina semula 200 buah rumah bekas tentera di seluruh negara tahun ini, kata Mohd Noor. - BERNAMA

Artikel Lain